Saturday, April 11, 2015

Allah, Engkau dekat.


"Aku pernah terbaca; 

Hanya mereka-mereka yang hilang arah
akan mengerti perasaan dijumpa semula.

Betapa benar.

Dan betapalah sebenarnya hakikat hidup adalah tidak ada seorang pun yang
pernah jauh dan tersasar arah. Cuma dipilih untuk tidak dijumpa. 

Apa yang kau cari--
Sentiasanya lebih qarib sama jantungmu.
Telah lama selalu ada.

Dekat. 

Minta. 
Dan kau akan jumpa."


-FynnJamal-



Andai kalian punya wang, punya peluang, biarlah rumah Allah ini yg menjadi tempat pertama yg kalian lawati. Pasti, selepas itu walau kalian tawan seluruh dunia, takkan sama perasaan tika berada di rumah Allah. :)



Hari ini genap 2 bulan sekembalinya kami sekeluarga dari Bumi Haramain. Sekembalinya dari Tanah Haram, aku bagaikan diserang satu penyakit. Penyakit rindu dan penyakit susah nak move on dari Tanah Suci Makkah & Madinah walaupun baru pertama kali menjejakkan kaki di sana. Tanpa sedar, mengalir air mataku membaca bait-bait kata di dalam post FynnJamal yang kini sedang menunaikan Umrah di Bumi Haramain. Allahuakbar, sesak dada ini menahan rindu yang terlalu sarat. Masih terhidu-hidu akan bau haruman disana. Setiap kali melangkahkan kaki ke Masjid Nabawi, pasti hati rasa terusik dan sebak, mengenangkan bahawa bumi dimana aku berpijak sekarang ini pada suatu ketika dahulu pernah dipijak oleh Baginda Rasulullah dan para Sahabat. Subhanallah, rindunya aku pada manusia agung, kekasih Allah itu yang telah terlalu banyak berjuang dan berkorban demi kesejahteraan umatnya. اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ




Sebak dadaku, melihat keagungan kotak hitam itu di hadapan ku. Kecilnya aku berada di hadapan Baitul Allah. Bukan fizikalnya, tetapi kemuliaannya. Berasa tidak layak benar menjejakkan kaki ke Tanah Suci, inikan pula berdiri di sini. Hilang segala rasa tinggi diri, yang tinggal hanya rasa kehinaan, manusia yang penuh kesengsaraan, hidup dalam kemaksiatan. Besarnya kasih-Mu kepada kekasih-Mu Ya Rahman. Agungnya sayang-Mu kepada kesayangan-Mu Ya Rahim. Hidupku penuh dengan hal yang menyekutukan-Mu, menyalahkan takdir-Mu, takut kepada yang selain-Mu. Tetapi, Engkau masih memperelok jalanku yang berliku itu untuk menerima hidayah-Mu. Sesungguhnya, hidupku ini adalah atas ihsan-Mu. Bila Kau berkata kun, maka kun lah ia iaitu bila Kau berkata hilang, maka hilanglah segala nikmat yang aku miliki ini. Ya Rabbana, peliharalah diriku dari menjadi seorang yang kufur akan nikmat-Mu.



Terima Kasih Allah, kerana sudi menjemput hamba yang hina ini ke rumah-Mu yang suci ini. Terima kasih Allah, kerana beri aku peluang untuk betul-betul sujud pada Engkau. Terima Kasih Allah, kerana beri aku peluang untuk benar-benar memahami bahawa hanya Engkau yang berhak diletakkan di dalam hati ini. Terima Kasih Allah, kerana beri aku peluang untuk perbaiki diri ini. Terima Kasih Allah, kerana beri aku peluang untuk menikmati dan menghargai limpahan nikmat dan kasih sayang-Mu yang tidak berbelah-bahagi itu padaku, hamba-Mu.



Rindu Ya Allah, terlalu rindu. Moga akan ada lagi kesempatan buatku dan keluargaku untuk menjadi tetamu-Mu yang teristimewa Ya Allah. Ameen. :')